Wednesday, April 15, 2009

Ciri-ciri sastera


Hasil-hasil karya sastera sejarah ini mempunyai tujuan dan ciri-cirinya yang tertentu. Karya sastera sejarah yang menepati ciri-ciri yang berikut merupakan hasil karya yang berjaya dan sampai kepada siapa yang ditujukan.
Meninggikan kedudukan raja-raja
Karya sastera sejarah ini memerlukan usaha pengkarya bagi meninggikan kedudukan raja-raja dengan menghiasi watak-watak mereka dengan unsur-unsur keghaiban dan kekuasaan.
Sampaikan hal-hal moral dan tatasusila
Ciri seterusnya adalah pengarang juga mesti menyampaikan kepada khalayak tentang hal-hal berkenaan dengan moral dan tatasusila dengan cara didaktik.
Cenderung kepada sifat-sifat kesusasteraan rakyat
Selain itu, pengarang karya sastera sejarah biasanya perlu lebih cenderung kepada sifat-sifat kesusasteraan rakyat dengan mementingkan soal-soal mitos dan dynastic myth lebih dari sejarah dalam pengertian terkini.
Memperindahkan karya
Pengarang akan memperindahkan karyanya sehingga hasilan mereka lebih berupa hasil seni daripada sejarah.
Tidak mementingkan kronologi.
Pengarang tidak mementingkan kronologi. Iaitu tiada tarikh yang tepat dan kejadian-kejadian yang berlaku sering dicampuradukan sehingga peristiwa itu hilang unsur-unsur sejarahnya.
Gelaran Hikayat
Ciri terakhir sastera sejarah adalah sebahagian besar hasil sastera ini membawa gelaran ‘Hikayat’. Namun begitu, tidaklah bermakna bahawa semua karya yang membawa gelaran hikayat itu boleh digolong sebagai sastera sejarah. Cerita-cerita seperti Hikayat Terung Pipit, Hikayat Malim Dewa, dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda tidak merupakan hasil sastera sejarah kerana kandungan ceritanya bukan mengenai hal-hal yang pernah berlaku.

Sastera Sejarah







Antara corak kesusasteraan Melayu Lama yang mempunyai sifat-sifat tempatan dari segi kandungannya ialah karya kesusasteraan sejarah. Karya-karya yang disebut ini selalunya digolongkan sebagai Sastera Sejarah oleh para sarjana sastera Melayu. Secara umumnya, hasil karya sastera ini akan mengandungi kisah-kisah kegemilangan negara-negara Melayu.
Para sarjana berpendapat bahawa sastera sejarah tidak dapat digunakan sebagai sumber sejarah yang lengkap kerana terdapat perbezaan antara sastera sejarah dengan penulisan sejarah yang sebenar. Oleh sebab, kandungan dalam karya sastera sejarah campur aduk fakta dengan khayalan serta peristiwa benar-benar berlaku ia belum tentu merupakan suatu kebenaran. Sastera sejarah dihasilkan dengan berdasarkan fantasi penulis atau atas perintah seseorang, tetapi sejarah ditulis berdasarkan fakta. Sastera sejarah bermula dengan kepercayaan tentang adanya sesuatu, sedangkan sejarah bermula dengan pembuktian adanya sesuatu. Oleh ini, hubungan yang erat dapat dilihat antara sastera sejarah dengan lagenda. Kadangkala, sastera sejarah dengan lagenda tidak dapat dipisahkan.
Karya-karya tersebut dikatakan sebagai sastera sejarah kerana mengandungi unsur-unsur sejarah tetapi ditulis dalam bentuk sastera dan ini adalah sifat mutlak di dalam hasil sastera sejarah.

Pendapatan-pendapatan Para Sarajana tentang Sastera Sejarah.
Menurut Prof. Mohd. Taib Osman, karya sastera sejarah hanya dapat digunakan sebagai “memberi gambaran peradaban masyarakat, konsep beraja dan corak pemikiran pada zaman itu.” Kini tidak dapat menggunakannya menurut pengertian sejarah di dalam konsep moden sekarang yang dianggap sebagai “ suatu sains yang menginterprestasikan masa lampau dengan berdasarkan kenyataan atau fakta yang secara terasing dan dikaji dengan tujuan untuk memberi fakta yang benar bagi pengetahuan manusia.”
Zuber Usman di dalam karyanya Kesusasteraan Lama Indonesia telah nyatakan sastera sejarah sebagai “perpustakaan yang bersifat kebangsaan.” Karya ini dilihat sebagai pelaku dan latar belakang ceritanya bersifat tempatan
.
Pendapatan-pendapatan para sarjana barat
Menurut R.A.Kern sastera sejarah mengandungi unsur-unsur sejarah, secara kesamping kerana ia dipenuhi dengan berbagai-bagai cerita khayalan.
J.C.Bottoms yang menganjurkan penyelidikan sastera sejarah sebagai sumber sejarah masih berpendirian bahawa sastera sejarah Melayu tidak lebih dari hiburan bagi orang-orang Melayu. Ketepatan, kesempurnaan dan penyusunan yang teratur bukanlah prinsip yang penting apa yang dipentingkan adalah dongeng, fantasi dan campuran daripada leteran di istana dan pelabuhan.
Para sarjana ini menganggap karya sastera sejarah sedemikian rupa, kerana mereka menggunakan ukuran pensejarahan moden barat iaitu harus bersifat saintifik, humanistik, rasional dan self-revealatory. Dalam hal ini, para sarjana ini gagal memahami bahawa mitos dan lagenda yang digunakan oleh pengarang karya pensejarahan Melayu mempunyai fungsi yang tertentu dan fungsi-fungsi itu berkaitan dengan kebudayaan Melayu.
Objektif pengkaji mengkaji sastera sejarah adalah untuk mengenalkan sastera sejarah kepada khalayak kerana ramai yang masih tidak mahir tentangnya. Pengkaji juga mahu memberi maklumat yang berfaedah tentang sastera sejarah ini. Penyelidikan terhadap sastera sejarah untuk membantu seseorang itu menghasilkan karya sastera sejarah yang berkualiti. Pengkajian ini juga dibuat untuk menyedarkan kepentingan menggunakan sastera sejarah dalam sesebuah karya. Selain itu, kajian ini akan memaparkan juga keunikan sastera sejarah dalam sebuah karya.

Definisi Teori takmilah




Perkembangan sastera Islam negara dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.
Dari segi sejarah kelahiran, pembicaraan, perbahasan, perbincangan dan pengaplikasian (penerapan) teori dan pendekatan Takmilah sudah hampir mencapai usia satu dekad (10 tahun) .
Pemikiran sesetengah individu yang berpandangan sempit terhadap agama Islam turut memberi kesan terhadap karya sastera. Sastera adalah medium paling halus yang boleh membawa arus pemikiran dalam masyarakat. Apabila, kesedaran Islam meningkat dan memberi impak kepada perkembangan sastera Malaysia, ia dilihat sebagai fenomena positif.
Selaras dengan itu, sastera Islam mula dikaji di Malaysia. Shafie Abu Bakar mengutarakan satu konsep iaitu Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid. Kemudian, beliau menggunakan istilah takmilah dalam Nadwah Sastera Islam Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Disember 1993. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Takmilah: Teori Sastera Islam.
Teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam.
Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.
Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.
“Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya. Perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja. “Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.
“Bagaimanapun, penglibatan penulis wanita dengan karya berunsur Islam tidak begitu ketara kerana kita juga kekurangan penulis wanita,” ujar beliau yang turut aktif melahirkan puisi-puisi berunsur Islam.
Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.
Justeru, kepentingan teori takmilah dapat dilihat daripada dua aspek. Pertama, ia diperlukan untuk menghasilakan karya-karya sastera Islam iaitu sebagai kerangka pendekatan atau melihat tujuh prinsi-prinsip yang dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar). Kedua, ia diperlukan untuk tujuan penganalisisan terhadap teks (genre) sastera (puisi,novel,cerpen atau drama) dengan melihat sejauh mana sesebuah karya sastera itu dapat dikategorikan sastera Islam melalui nilaian teori atau pendekatan takmilah. Dalam tulisan ini, ia akan digunakan untuk menganalisis novel yang berjudul Panas Salju karya Talib Samat.

Definisi kelas sosial




Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai definisi mengenai kelas sosial telah dibuat oleh para sarjana (barat mahupun tempatan), ahli falsafah, tokoh-tokoh, pakar, orang biasa dan seumpamanya, perbezaan definisi itu memang ketara sekali. Ini adalah disebabkan oleh perbezaan tanggapan dan pemahaman serta ilmu pengetahuan yang mereka perolehi itu sendiri. Selain itu, sifat tidak mahu terikut-ikut dengan pendapat orang lain juga adalah merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada kepelbagaian definisi mengenai kelas sosial.
Kelas sosial juga dikenali sebagai stratifikasi masyarakat. Menurut kamus Dewan, stratifikasi adalah pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan kedudukan, taraf atau pembahagian kepada sesuatu pembentukan strata. Ia juga dikenali sebagai susun lapis dan merupakan susunan masyarakat pada satu hieraki kedudukan yang tidak sama rata berhubung dengan kuasa, harta, penilaian sosial dan kepuasan psikologi.

Konsep IT, ICT dan Multimedia, lebuhraya


-pengenalan koridor raya multimedia pada 1997 yang lalu telah memperkenalkan kita kepada tujuh aplikasi perdana yang perlu digapai menjelang tahun 2020.

-Konsep ICT saling berkaitan dengan IT

- perkembangan awal yang berlaku terhadp IT telah mencetuskan konsep ICT.

-Apa yang penting ICT dan IT adalah berkaitan dengan maksud maklumat dan teknologi dalam bidang.

-Turpin menyatakan bahawa ICT adalah perluasan atau pendalaman pengertian daripada IT iaitu Information and Communication Technology.

Asas grafik


Asas grafik yang umum adalah warna, teks, kesesuaian, keseimbangan dan mudah. Ini merupakan lima perkara yang perlu diikut untuk mereka majalah grafik.


warna-misalnya tidak boleh banyak warna dan mesti berkontra.

teks- tidak boleh menggunakan teks yang banyak dalam satu halaman.

kesesuaian-gambar sesuai dengan teks dan warna.

keseimbangan- gambar atau teks perlu diseimbangkan dalam halaman.

mudah- tidak mengandungi banyak maklumat dalam satu muka surat.